Air Zamzam Palsu Sudah Lama Berleluasa Di Jakarta
JAKARTA – Polis Indonesia pada Khamis berjaya membongkar sindiket pengilangan air zamzam palsu hasil serbuan di tiga lokasi berbeza di sekitar Jakarta selain menahan enam suspek, lapor akhbar-akhbar tempatan pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat, Tatan Dirsan Atmaja pada sidang media di pejabatnya berkata, kesemua suspek dicekup di Jakarta Pusat, Jakarta Barat dan Jakarta Timur serta berusia dari 20 sehingga 30 tahun.
Polis turut merampas ratusan botol besar air mineral gelen besar yang dilabel dengan pelekat ‘Zamzam Water From Makkah Al-Mukarromah’ serta bersaiz isipadu dari sekecil 300 milliliter, sederhana satu liter dan paling besar lima liter.
“Kami dapat maklumat orang awam mengenai penjualan zamzam palsu di Toko Rizky Agency di Jalan Jatibaru IV No.2 di Tanah Abang, Jakarta Pusat sebelum buat intipan di kedai itu yang berdekatan Stesen Tanah Abang,” kata Tatan.
Hasil risikan, polis melakukan serbuan pada pukul 1 petang sebelum menahan seorang suspek dan mendapat maklumat dia menerima bekalan dari kilang pemprosesan zamzam tiruan itu di Jalan Muafakat RT 003 RW 06 di Srengseng, Jakarta Barat.
Pasukan polis yang diketuai Tatan sendiri terus bergegas ke lokasi kedua pada pukul 3 petang dan berjaya menahan tiga lagi suspek yang sedang sibuk memproses air itu dengan label palsu kononnya botol gelen tersebut ialah air zamzam asli.
Dari situ, mereka berjaya mendapat maklumat baharu bahawa dalang kilang itu sebenarnya berada di lokasi ketiga iaitu sebuah rumah di Kramat Jati, Jakarta Timur dan polis segera ke sana sebelum menahan dua lagi suspek pada pukul 6 petang.
Kesemua suspek lelaki itu kini ditahan di lokap polis Jakarta Utara serta akan didakwa atas tuduhan tidak mendaftar perusahaan, tiada kelulusan keselamatan makanan pengguna dan penipuan label produk yang boleh dihukum penjara lima tahun.
Turut dirampas ialah produk tiruan lain antaranya minyak zaitun dan madu lebah, manakala seorang suspek dipercayai sebagai ketua mendakwa, dia belajar membuat botol zamzam palsu itu daripada seorang rakan Arab yang sudah meninggal dunia.
Siasatan awal polis mendapati, botol zamzam palsu itu telah lama dijual di pasaran tempatan, namun hanya terbongkar apabila beberapa pembeli yang pernah ke Tanah Suci meragui keaslian rasa air berkenaan seperti mineral biasa. – Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini