Bayi Comel Ditemui Dalam Beg Kertas Tersenyum Dan Tidak Menangis.
Rawang: “Dia (bayi) dijumpai dalam keadaan tersenyum dan tidak menangis di dalam beg kertas,” kata Fakhrudin Abdul Karim, 46, sebaik menemui bayi lelaki yang dibuang di atas bonet sebuah kereta di kawasan meletak kenderaan Masjid An Nur Bandar Country Homes di sini, kelmarin.
Fakhrudin yang juga nazir masjid itu berkata, bayi malang terbabit ditemui selamat oleh seorang jemaah masjid selepas selesai menunaikan solat Isyak pada jam 9.15 malam.
Menurutnya, jemaah masjid kemudian segera memaklumkan perkara itu kepadanya.
“Saya amat terkejut kerana kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan ini. Bayi itu masih bertali pusat dan dibungkus bersama kain di dalam beg kertas.
“Peliknya bayi itu berada dalam keadaan tersenyum dan tidak menangis. Saya percaya bayi itu sudah dilahirkan beberapa hari lalu,” katanya.
Menurutnya, terharu dengan penemuan bayi itu seorang jemaah masjid melaungkan azan ke telinga bayi itu.
“Bayi itu baru dilahirkan, maka wajarkan bayi itu diazankan.
“Kami dapati beg kertas berisi bayi itu ditinggalkan di atas kereta milik seorang pesara polis berusia 64 tahun yang menemuinya,” katanya.
Fakhrudin berkata, dia kemudian mengarahkan jemaah masjid itu membuat laporan polis sebelum membawa bayi malang berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, bayi itu kini diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata bayi lelaki itu kini menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang.
Ali berkata, siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui saksi yang melihat individu meninggalkan bayi terbabit di atas bonet kereta.
“Kami (polis) minta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui individu yang baru sahaja melahirkan bayi supaya menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. - Metro Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini