Kes judi atas talian terbesar tumpas
Guangzhou (China): Polis Guangdong menahan 1,071 suspek selepas menumpaskan aktiviti pusat perjudian dalam talian terbesar dalam satu operasi khas.
Menurut Pengarah Pejabat Awam Jabatan Keselamatan Awam wilayah Guangdong Lu Feng, kebanyakan suspek yang ditahan terdiri daripada pegawai bank, anggota kumpulan samseng gelap dan juruteknik yang membangunkan perisian serta laman sesawang untuk perjudian dalam talian.
Katanya, 15 ketua dan anggota kumpulan yang disyaki terbabit kini disiapkan untuk menghadapi proses pendakwaan.
“Lebih 330 juta yuan (RM195.51 juta) wang perjudian yang didepositkan ke dalam akaun dimiliki kumpulan terbabit turut dibekukan.
“Setakat ini ia kes perjudian dalam talian paling besar yang dibanteras China sejak penubuhan Republik Rakyat China tahun 1949, menurut statistik yang didedahkan Menteri Keselamatan Awam,” katanya, semalam.
Ini jumlah suspek ditahan dan wang perjudian paling besar dirampas polis bagi sesebuah kes, kata Lu.
Menurutnya, sejumlah besar kad bank, buku deposit, komputer riba, pelayan komputer, telefon bimbit, kereta dan peralatan lain dirampas dalam operasi polis yang membabitkan 6,000 pegawai.
Operasi itu dilancarkan di bandar Shantoi dan Chaozhou di timur sebahagian Guangdong pada 21 Disember tahun lalu selepas beberapa bulan siasatan dilakukan.
Pengarah keselamatan dalam talian di bawah Jabatan Keselamatan Awam Guangdong Yu Canxian berkata, kumpulan itu menubuhkan lebih 200 laman sesawang perjudian dan platform, dengan pelayan di rantau luar negara dan menggunakan perkhidmatan bank dalam talian untuk menarik minat penjudi.
Menurut Lu, kumpulan terbabit berjaya menarik lebih 400,000 ahli untuk membeli tiket loteri secara haram di China dan Hong Kong. -Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini