Penyelenggara bangunan USM dihukum mati kerana edar dadah
ALOR SETAR - Seorang penyelenggara bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah seberat 9.4 kilogram (kg) tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Akbar Ali Abdul Rahman, 37, selepas mendapati pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Akbar Ali yang juga merupakan peniaga nasi kandar secara sambilan di Pulau Pinang hanya menundukkan muka ketika hukuman tersebut dijatuhkan.
Tertuduh dituduh mengedar kanabis seberat 9.4 kg kira-kira pukul 9 malam di tepi jalan berhadapan kedai Celcom, kawasan Kompleks Tok Arau, Perlis.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori. - KOSMO!
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini