PARIT BUNTAR - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan jerutan dileher di sebelah bapanya yang tidak sedarkan diri di Kampung Jalan Terusan, Simpang Lima, semalam.
Turut ditemui seutas tali getah digunakan untuk mengikat barang berada di sisi si remaja itu, dipercayai digunakan sebagai senjata membunuh.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Ahmad Solehin Abdul Harif, 21, anak sulung dari enam beradik ditemui seorang ahli keluarga dalam keadaan terbaring di atas katil bersama bapanya.
Adik mangsa iaitu anak ketiga dalam keluarga mengesyaki sesuatu buruk berlaku apabila melihat pintu bilik tidur Solehin terbuka sebelum menemui abang dan bapanya dalam keadaan tidak sedar diri.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan segera dilakukan sebaik menerima laporan kejadian itu dan menemui mangsa terbaring di sebelah bapanya tanpa berbaju.
Menurutnya, polis turut menemui seutas tali getah bercangkuk di sisi mangsa dan siasatan lanjut turut menemui kesan jerutan di leher mangsa.
“Susulan kejadian itu, bapa mangsa yang difahamkan mengalami masalah tekanan jiwa, ditahan untuk siasatan lanjut dan kemungkinan akan dihantar ke Hospital Taiping untuk menjalani pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan pasukan paramedik Hospital Parit Buntar, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada awal pagi iaitu antara jam 4 hingga 6 pagi.
Ditanya mengenai punca kejadian, Omar Bakhtiar menegaskan pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Forensik serta laporan bedah siasat dari Hospital Parit Buntar.
“Siasatan ke atas kediaman mangsa juga tidak menemui tanda-tanda rumah itu dipecah masuk dan polis juga akan menyiasat perkara ini dari semua sudut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya.
Bagaimanapun, Sinar Harian gagal mendapatkan keterangan ahli keluarga mangsa kerana mereka masih dalam keadaan trauma. ─ Sinar Online