DAMSYIK – Syria menuduh Israel mengebom lapangan terbang utamanya kelmarin selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan rundingan dengan pemimpin pemberontak berhubung isu gencatan senjata di bandar raya Aleppo.
Tuduhan itu dibuat beberapa jam sebelum beberapa pertubuhan kemanusiaan membuat rayuan semalam supaya negara-negara dunia mengambil kira-kira 180,000 pelarian selepas bilangan penduduk yang melarikan diri daripada konflik di Syria meningkat.
Israel melancarkan serangan udara di Syria sejak kebangkitan bersenjata di negara itu tercetus pada 2011, termasuk menyerang bekalan roket Iran yang dibawa dari negara itu untuk kumpulan Hizbollah di Lebanon.
“Tengah hari ini (kelmarin) Israel menyerang dua kawasan selamat di wilayah Damsyik iaitu Dimas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik,” kata tentera Syria dalam satu kenyataan.
Menurutnya, serangan udara itu menyebabkan kerosakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Kedua-dua pesawat awam dan tentera menggunakan lapangan terbang itu yang terletak di tenggara bandar raya ini.
Setakat ini, tiada maklum balas daripada pihak berkuasa Israel berhubung serangan itu tetapi tentera Syria mengulangi dakwaan bahawa rejim Zionis membantu pihak pemberontak menentang Presiden Bashar al-Assad.
“Serangan langsung oleh Israel dilancarkan untuk membantu pengganas (pemberontak) di Syria selepas tentera kami memperoleh kemenangan penting di Deir Ezzor, Aleppo dan beberapa kawasan lain,” kata tentera Syria dalam satu kenyataan. – AFP